Friday, February 12, 2010

Friday, February 12, 2010
(Pada 15 Oktober 2008 lalu saya menulis artikel berikut untuk Harakahdaily. Ketika itu saya adalah Setiausaha Akhbar Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS - saya siarkan ia semula dipagi Jumaat ini semoga menjadi iktibar buat saya dan semua yang cintakan perjuangan ini)


Gerakan Islam terganggu bila amilin longgar akhlak
Wed Oct 15, 08 9:58:44 am MYT

Seorang aktivis atau amilin gerakan Islam bukan sekadar perlu memahami dan tunduk pada peraturan agama dalam memikul amanahnya malah ia perlu memperlengkapkan dirinya dan patuh pada disiplin dan adab dalam berjemaah.

Masalah dalaman angkara amilin yang tidak lengkap atau longgar akhlak berjemaahnya akan mengakibatkan terganggunya perjalanan gerakan Islam tadi.

Gerakan Islam ini bukan gerakan ikut-ikutan atau gerakan yang bertenggek pada populariti semasa atau pada mana-mana individu atau kumpulan. Ianya rentetatan dari gerakan suci lagi besar yang telah diasaskan olehjunjungan kita Nabi Muhammad saw, yang berlandaskan wahyu (al Quran) dan bimbingannya, tidak berubah roh dan semangatnya samada dalam keadaan perjuangan itu ditimpa tekanan, serangan atau fitnah mahupun ketika ia meraih kejayaan dan kemewahan.

Kerana itu dalam menghadapi halangan dan cabaran atau dugaan semasa gerakan Islam hendaklah sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah perlu bagi memantap dan memperkasakan para pendukungnya. Seseorang itu tidak boleh mendakwa dirinya amilin gerakan Islam jika ia tidak patuh atau tunduk pada peraturan dan adab berjemaah ini.

Komprehensifnya peraturan dan adab berjemaah dalam gerakan Islam sehingga kita ditarbiyah dan didedahkan dalam mengenal-pasti dan menjauhi wabak-wabak yang mampu menganggu-gugat keutuhan diri dan kekuatan jemaah.

Umpamanya Dr al Sayed Muhammad Noh ada menulis darihal wabak-wabak ini yang perlu diberi perhatian di dalam kitabnya "Wabak Sepanjang Jalan" yang pada tahun 2003 telah diterbitkan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat dengan diterjemahkan oleh Dewan Ulamak PAS Kedah (Pengerusi panel terjemahannya ketika itu adalah MB Kedah kini Ustaz Dato' Seri Azizan
Abd Razak).

Terjemahan buku ini djadikan teks usrah oleh PAS di pelbagai peringkat dan saya difahamkan ianya menjadi teks usrah kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah sejak zaman Almarhum Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor lagi.

Kitab ini menghuraikan tujuh wabak yang perlu diawasi oleh para amilin yang jika tidak diberi perhatian mampu mengancam gerakan Islam sepanjang zaman. Dan salah satu wabak itu adalah "al ghurur" atau "tertipu dengan diri sendiri". Di sana Allah SWT berfirman:

" Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka)." (Fatir: 5)

Antara sebab-sebab berlakunya "ghurur" menurut kitab ini adalah pertama lalai untuk mengkaji dan muhasabah diri sendiri dan kedua lalai atau enggan menerima bimbingan orang lain.

Sesungguhnya dua di antara sebab ini sangat mudah hinggap dan memperdayakan kita sehingga kita kadangkala tidak perasan atau terlupa yang ianya telah masuk merasuk jiwa kita.

Kerana itulah kita perlu sentiasa memagang kuat ikatan tali dalam berjemaah ini, jangan sampai ianya terlepas sehingga kita menganggap tidak ada yang lain yang benar dan betul melainkan diri kita sahaja.

Kitab ini memberi amaran bahawa "al ghurur" jika tidak ditangani atau dirawati akan meninggalkan kesan buruk dan merbahaya samada ke atas amilin ataupun amal Islami itu sendiri.

Dan tiga kesan ke atas amilin akibat dari perlakuan "al ghurur" ini adalah pertama: "cenderung terjebak ke dalam perangkap kejahatan dan suka bertegang leher", kedua: "cenderung terjebak ke dalam kancah at takabbur tanpa hak" dan ketiga: "keras kepala".

Untuk itu Rasulullah saw bersabda:

"Aku adalah ketua sebuah rumah perlindungan dalam syurga (dikhususkan) untuk mereka yang tidak bertegang leher, sekali pun apa yang dilakukannya itu adalah benar. Dan aku juga ketua sebuah rumah di tengah-tengah syruga (dikhususkan) untuk mereka yang tidak berbohong, walaupun bohongnya itu hanyalah gurauan. Dan aku juga ketua sebuah rumah di bahagian tertinggi syurga untuk mereka yang baik akhlaknya."

Justeru itu semua kita perlu mengambil iktibar dan memastikan yang kita tidak dihinggapi oleh wabak seumpama ini samada kita sekadar ahli biasa ataupun berjawatan di peringkat cawangan, apa lagi kawasan, negeri termasuklah pusat.

Tidak terkecuali mereka yang memegang jawatan dari setinggi Menteri Besar sehinggalah ahli-ahli EXCO, ahli parlimen dan ADUN serta ahli-ahli majlis PBT, ketua-ketua kampung mahupun JKKK.

Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS ada menyebut dalam ucapannya di muktamar baru-baru ini bahawa pokok PAS tidak akan tercabut kerana tunjangnya adalah Islam, walaupun ia mungkin bergoyang.

Lalu apa sahaja yang mengakibatkan ianya bergoyang perlu dirawat semoga pokok ini terus kukuh dan teguh dalam meneduhi perjuangan yang besar dan jauh ini.

Posted by roslan sms at

Thursday, January 7, 2010

Penggunaan Kalimah Allah

Penggunaan nama Allah oleh penganut agama bukan Islam menjadi polimik hangat dalam negara ,menjadi lebih panas setelah Mahkamah membuat keputusan keizinan kepada pihak gereja katholik memakai perkataan Allah dalam penyebaran mereka kepada masyarakat umum, khususnya masyarakat yang hidup didalamnya Umat Islam, kerena menyentuh perasaan mereka, kerana Perkataan ALLAH sangat mulia disisi umat Islam.

Apa yang menghairankan sebelum ini pengamal ajaran keristian itu menyebut tuhan dengan bahasa mereka masing-masing.

Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan Allah dari kitab suci mereka (Al Quran) yang tidak diterjemahkan lagi kedalam bahasa masing-masing, kerana perkataan ALLAH tidak mampu diterjemahkan kedalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al Quran.

Adakah ia boleh dibenarkan begitu sahaja diatas kosep kebebasan beragama?, sedangkan kebebasan secara saksama mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah yang mencetuskan perkara yang merosakan hubungan sesama manusia .

Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebanar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Perlu difahami adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain mengikut makna perkataan Allah yang tepat dengan maksudnya dari segi bahasa Arab yang terus digunakan oleh umat Islam yang terdiri daripada bebagai bangsa dan bahasa dengan tetap berpegang kepada makna dan maksud perkataan Allah?

Atau mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya sehingga menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini .

Perkataan Allah di-sebut oleh orang arab atau pengguna bahasa arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut yahudi, kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala .

Al Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agma itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah Dalam surah Al-Ankabut ayat 61 dan 63 bermaksud

61. Dan sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?.

63. Dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka Yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).

Firman Allah dalam surah Al-Luqman ayat 25 bermaksud

25. Dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).

Firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 38 bermaksud

38. Dan demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".

Firman Allah dalam surah Az-Zukhruf ayat 9 dan 87 bermaksud

9. Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:" siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui".

87. Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka Bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?

Ayat-ayat tersebut diatas mendedahkan bahawa orang-orang yang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan Yang Bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (Adanya Tuhan Pencipta Alam) hanya sekadar itu, namun kepercayaan mereka tidak menepati hakikat dari makana perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat makjizat Al Quran, apabila mereka memaksa diri menggunakan perkataan Allah , padahal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti GOD, LORD dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka tidak tepat dengan maksudnya .

Kita tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah mengikut ajaran dan bahasa kita, walaupun mereka percaya kepada Tuhan yang Maha Berkuasa, tatapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara.

Kalangan penganut kristian dengan kepercayaan Trinity (Tiga Tuhannya) dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang maha Esa dan Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang maha Esa (Al Asma Al Husna).

Imam Al Baihaqi menulis dalam kitabnya ( Al Asma Wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ia-lah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu baginya (sama ada dinamakan bapa , anak dan apa sahaja) .

Allah mengikut bahasa arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadanya .

Perkataan ALLAH itu daripada perkataan AL-ILAH dengan menambah AL kepada perkataan asal ILAHyang bermakna Tuhan secara umum .

Apabila di letakkan Alif dan lam (AL) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian di mudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf maka, di sebut ALLAH.

Penambahan Al dalam bahasa arab bertujuan makrifah (yang di kenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu berbilang Tuhan” .

Al Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah S.A.W. tanpa melarang mereka menyebut, tetapi memberi penjelasan secara ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat .

Apabila Rasulullah S.A.W. menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah :

64. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami Dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu Bahawa Sesungguhnya Kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali-Imran ayat 64)

Perutusan Rasulullah S.A.W. mendedahkah bagaimana gulungan Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut Perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran Tauhid, (mengesakan Allah) tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan–tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (padri-padri) dan pemimpin-pemimpin (Arbab) yang mencipta undang–undang dan hukum yang menentang hukum Allah saperti menghalal apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada Rasul mereka sendiri atau mengharamkan apa yang di- halalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah dikalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita.

Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan aqidah mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan ALLAH sekadar mengubah janama melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sekali-kali, kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci Kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang di amal oleh umat Islam, seterusnya di-kira menodai kesucian dan kemurnian Kalimah ALLAH dihadapan umat Islam.

Iman ‘Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah , dengan apa nama sekalipun:

كلمة حق أريد بها باطل

(Kalimahnya benar , tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah ALLAH adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan ditengah masyarakat umat Islam sangat menyentuh sensetiviti Umat Islam, sehingga menggerakkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO) fahaman politik dan individu, bersatu mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah ALLAH boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk.

Al Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah .

Firman Allah dalam surah Al-An'am ayat 108 bermaksud

(108. Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.

Demikianlah kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.)

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebabasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Saturday, December 19, 2009

19 December 2009

Muafakat baru untuk Malaysia


Berikut adalah kandungan muafakat rakyat.Pakatan Rakyat menyediakan suatu rencana dasar dan kebijaksanaan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing.Agenda pembangunan bangsa telah tergelincir akibat dari faham perkauman sempit, politik adu domba dan "demokrasi otoritarian". Ekonomi merudum akibat dari keruntuhan akal budi, kerakusan rasuah dan kebijakan-kebijakan usang yang menyebabkan Malaysia tergelincir ke belakang dari ekonomi-ekonomi rancak serantau.Ketidakadilan ekonomi semakin ketara dengan melebarnya jurang antara golongan kaya dengan miskin, antara bandar, desa dan pendalaman antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.Peningkatan jenayah mengancam keselamatan nyawa dan harta rakyat kerana pasukan polis disalahgunakan untuk tujuan politik sempit. Kewibawaan dan kebebasan sistem kehakiman terus digasir oleh campurtangan politik dan kepentingan perniagaan.
Setengah abad Malaysia merdeka dan berdaulat sewajarnya mendewasakan. Ini diterjemahkan manakala rakyat rakyat dari pelbagai kaum mempamerkan semangat baru meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud, menolak kerakusan kuasa, merebaknya rasuah, merompak khazanah negara dan menginjak hak rakyat.Menginsafi semangat rakyat tersebut maka Pakatan Rakyat mengikrarkan iltizam kami untuk menghayati dan melaksanakan agenda politik baru ke arah menggembleng tenaga rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya yang dilihat sebagai satu kekuatan.Malah kami yakin, kita mampu berubah dari dasar perkauman sempit kepada kerukunan hidup beragama, nilai kemanusiaan, berlandaskan prinsip akhlak dan etika hak asasi, prinsip negara hukum tanpa memilih darjat, kaum atau kelompok. Dasar yang terpasak dari kepatuhan kepada Perlembagaan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat akan menjamin keluhuran undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman, sebagaimana ia menjamin hak-hak asasi manusia dan maruah rakyat kekal terbela dan dimartabatkan.Pakatan Rakyat berkeyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu dipacu dengan lebih pantas melalui dasar ekonomi pasaran yang manusiawi yang mengarah kepada pembangunan manusia seutuhnya. Kebijakan ekonomi harus menjadikan Malaysia mampu berdaya saing, iklim pelaburan yang sihat, percukaian progresif, tetapi kukuh dengan hasrat mencapai keadilan melalui kaedah pengagihan ekonomi yang adil, terutama bagi kelompok miskin dan terpinggir.Pakatan Rakyat menolak dasar yang membuka ruang kepada rasuah dan lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan kuasa. demi memastikan pertumbuhan yang mapan, dasar menindas yan ghanya memperkayakan segelintir perlu digantikan dengan sebuah dasar yang memastikan bantuan kepada golonga miskin di Malaysia tanpa mengira kaum.
Berdasarkan latar belakang ini kami mengaja rakyat Malaysia mencipta suatu muafakat baru yang berteraskan keadilan untuk semua dan prinsip-prinsip perlembagaan. Ini adalah agenda yang mesti dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan kemuliaan insan. Hanya dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan bersatu padu.1. Demokrasi Telus dan Tulena. Negara perlembagaan dan kedaulatan undang-undangPerlembagaan Persekutuan merupakan penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka. Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya. Justeru, Pakatan Rakyat beriltizam memartabatkan semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Pakatan Rakyat akan:
1. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-manaantara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.
2. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berpelembagaan.
3. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.
4. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa dibicara. Serentak dengan itu mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan Darurat yang masih berkuatkuasa.
5. Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalin serta melanggar hak asasi.
6. Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.

Thursday, December 17, 2009

Interaksi Dengan Non Muslim: Beberapa Pendekatan Strategik

1.Menanam niat untuk berdakah kepada mereka
2.Mengajak mereka berbincang mengenai agama
3.Menghargai kebaikan
4.Menjawab atau membalas salam dengan baik
5.Membudayakan ucapan yang baik
6.Menghadiri majlis atau program kemasyarakatan yang tidak berkaitan dengan agama mereka
7.Mengajak menghadiri program keislaman
8.Menghuraikan dengan jelas makna bacaan al-Quran
9.Mengedar bahan ilmiah berkenaan agama Islam
10.Berbuat adil dan kebaikan terhadap non muslim
11.Mengasihani mereka dengan rohani insaniah
12.Menunjukkan kemuliaan dan akhlak muslim dan Islam
13.Tidak mengakui kekufuran mereka
14.Tidak berbuat zalim
15.Tiada halangan bermuamalat
16.Berbuat baik terhadap jiran non muslim
[Mohammad Nizam Abd. Kadir (2009), Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim, Kuala Lumpur:Telaga Biru)

Tuesday, December 1, 2009


1. Parti Islam Se Malaysia [ PAS ] adalah sebuah Gerakan Islam [ Harakah Islamiyyah ] yang mengambil pendekatan menyertai pilihanraya sebagai sebuah parti politik yang berdaftar .

2. Politik adalah sebahagian dari tanggungjawab perjuangan Islam yang wajib dilunas sebaik mungkin . Ianya menjadi alat atau wasilah untuk mendapatkan kuasa bagi mendaulatkan syariat Islam sebagai satu perundangan atau peraturan yang adil , telus , saksama dan bestari .

3. Namun begitu menang dan kuasa hanyalah wasilah perjuangan bagi mencapai matlamatnya iaitu redha Allah swt . [ الله غايتنا ] . Mutaakhir ini saya lihat ada beberapa perkara yang memerlukan allignment dan balancing di dalam PAS agar perjalanan atau pergerakkan PAS menuju destinasi [ matlamat ] tidak makan sebelah dan bergegar sepanjang jalan .

4. Ucapan dasar Presiden PAS telah menegaskan bahawa PAS mesti bergerak seimbang [ tidak makan sebelah ] dan tenang [ tidak bergegar ] dengan 3 fungsi utamanya iaitu :
a] Harakatut Tarbiyyah ,b] Harakatud Dakwah danc] Harakatus Siyasiah .

5. Pada pengamatan saya , kini ramai [ sebahagian ] pimpinan dan anggota PAS agak berlebihan dalam menumpukan gerakkerja politik [ harakatus siyasiah ] sementara sangat tidak mengambil berat terhadap gerakkerja tarbiyyah . Mereka sanggup bersengkang mata untuk memastikan kemenangan kerusi mereka bahkan sanggup jua bertegang leher sesama sendiri demi sebuah strategi politik . Terlalu ghairah untuk menang besar dan menang cepat dalam pilihanraya sehingga mengorbankan sahabat seperjuangan dalam PAS .

6. Amal tarbawi seperti tiada lagi tempat dan ruang . Ukhuwwah sesama pimpinan dan anggota parti dilihat sinis . Mudah bertengkar dan bermasam muka . Sering dipengaruhi rasa curiga antara satu sama lain . Memandang sahabat seperjuangan seperti musuh yang dilapah dan disiat seluruh maruah dan aibnya di dada akhbar dan blog . Sukar bertolak ansur sebaliknya mudah bersengketa . Berbicara sesama sendiri seperti bicara dengan musuh .

7. Bukan sahaja parti bergerak secara tidak seimbang [ makan sebelah ] tetapi juga tidak tenang [ bergegar ] sepanjang jalan . Suara luar boleh masuk dan mempengaruhi sebahagian pimpinan PAS dengan mudah . Tahap thiqah [ kepercayaan ] kepada pucuk pimpinan parti semakin berkurangan . Budaya menghentam pimpinan secara terbuka semakin menjadi trend . Rahsia parti dan minit mesyuarat dibongkar tanpa rasa bersalah . Mereka berpolitik bukan hanya dengan musuh tetapi lebih hebat sesama sendiri .

8. Saya lihat perlunya kedudukan dan perjalanan parti kita ditimbang dan dibetulkan semula . Semua pihak sewajarnya ambil peranan ini dengan penuh insaf dan sedar . Kembalikan izzah berjamaah dengan semarak amal tarbawi . Bina semula wehdatul fikri dan wehdatul amal . Jaga kerahsiaan jamaah dengan mengenal pasti apa yang patut rahsia dan apa yang patut dedah . Fikrah Islam mesti jelas ! jangan biarkan ia kabur disebalik jerebu kemenangan .

9. Semua pihak mesti merendahkan sayap . Kembalikan suasana lazat dan seronok bekerja dalam jamaah . Pastikan berjuang untuk menambah pahala bukan berjuang untuk memperbanyakkan dosa dek kerana fitnah dan pertelingkahan sesama sendiri . Berlapang dada dan bersedia untuk dinasihati dan ditegur . Hidupkan semula amal tarbawi biarpun dengan gaya moden atau paling tidak , kekalkan warisan tradisi yang soleh seperti usrah , tamrin qiadi , mukhayyam tarbawi , liqa fikri , ijtima' tarbawi dan lain - lain .

10. Perkukuhkan parti kita [ PAS ] sebelum kita nak perkukuhkan parti orang lain . Fokus pada potfolio yang diamanahkan kepada kita . Usahlah kita ambil kerja orang lain atau dalam bahasa lain menggali tanah kebun orang lain . Menuding dan menilai kerja orang lain bagaikan nak rak tetapi malang kerja sendiri entah kemana failnya . Pada masa yang sama , perkasakan amal tarbawi . Jangan culas untuk hadhir program yang membina diri , aqidah dan fikrah . Usah berlagak pandai dan bijak . Rendahkan sayap demi amal jamaei . Kurangkan alasan atau jangan banyak sangat bermain alasan untuk tidak melibatkan diri dengan program amal tarbawi , kerana kelak menjadikan kita tidak seimbang [ makan sebelah ] .
Posted by Nasrudin Hassan at Tantawi

Monday, November 30, 2009

Dari Blog Ketua Pemuda PAS Pusat
Sunday, 29 November 2009

Takutlah Doa Mangsa Kezaliman

1. Ameen Ya Rabbal A'lamin . Saya dan seluruh pemuda Islam insyaallah mengaminkan doa Tok Guru sebagai seorang ulama' dan pemimpin yang dizalimi tanpa sebarang belas simpati .
2. Sabda Rasulullah saw :اتقوا دعوة المظلوم فإنها ليس بينها و بين الله حجاب
[ Takutlah olehmu akan doa orang - orang yang dizalimi kerana sesungguhnya antara doa orang yang dizalimi dengan Allah swt tiada hijab - halangan - ]ibnu Hibban
3. Rakyat dan pemimpin negeri Kelantan telah dizalimi apabila Kerajaan UMNO dan BN gagal memberikan hak mereka berupa royalti hasil minyak petroleum kurniaan Allah swt kepada bumi Kelantan . Kegagalan Kerajaan UMNO dan BN menunaikan tanggungjawab mereka memulangkan hak rakyat negeri kelantan sebenarnya adalah sikap yang dicela oleh Allah swt .
4. Belumpun sempat Tuan Guru Nik Abdul Aziz berdoa , terlebih dahulu kutukan laknat dari Allah swt telah mengenai orang yang berlaku zalim biarpun ia mengaku muslim malah mendirikan sembahyang . Lihat sahaja bagaimana firman Allah swt di dalam surah al Maa'un ayat 4 hingga ayat 7 :
فويل للمصلين الذين هم عن صلاتهم ساهون الذين هم يرآءون و يمنعون الماعون
[ Maka celakalah bagi orang yang mendirikan sembahyang namun lalai di dalam sembahyangnya , orang - orang yang riya' dalam amalannya dan mereka yang menghalang rezeki - barang bermanafaat dari sampai kepada pihak yang selayaknya - .]
5. Antara rezeki dan harta atau barang yang bermanafaat untuk rakyat Kelantan ialah royalti justeru royalti adalah hak mereka . Malangnya kerajaan UMNO dan BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib termasuk dalam golongan mereka yang menghalang rezeki tersebut . Tuan Guru selaku pemimpin kerajaan negeri sudah jenuh berikhtiar dengan penuh diplomasi sebelum ini , nampaknya Datuk Najib dan kerajaan UMNO dan BN yang dipimpinnya tidak memahami bahasa diplomasi .
6. Bahasa apa lagi yang boleh digunakan oleh golongan tertindas melainkan hanyalah mengadu kepada Tuhannya yang Maha Adil lagi Maha Mendengar doa hambaNya yang terainaya . Doa adalah senjata orang yang beriman terutama saat mereka kehabisan ikhtiar dan tiada pilihan lagi .
[ الدعاء سلاح المؤمن ]
7. Adapun langkah Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyebut nama di dalam doa beliau sebenarnya tidaklah bercanggah dengan sunnah bahkan Nabi saw pernah menyebut nama - nama mereka yang menentang dan menzalimi baginda saw dan ummat Islam . Nabi saw saat hiba mengenang perbuatan Quraisy [ Uqbah bin Abi Mu'it ] yang meletakkan najis di atas belakangnya sewaktu sujud dihadapan Kaabah , sejurus dibersihkan jasad Baginda saw oleh Fatimah radhiallahuanha , Rasulullah saw berdoa :
اللهم عليك بقريش
Ya Allah ! Aku serahkan kepadaMu urusan untuk membinasakan Quraisy . [ sebanyak 3 kali ]
8. Sebaik mendengar doa ini , penduduk Quraisy yang tadinya ketawa besar melihat keadaan Muhamad saw tiba - tiba terdiam kerana takutkan doa tersebut . lalu Nabi saw menyambung doanya :
اللهم عليك بأبي جهل بن هشام و عتبة بن ربيعة و شيبة ين ربيعة و الوبيد بن عتبة و أمية بن خلف و عقبة بن أبي معيط
Ya Allah ! Aku serahkan kepadaMU urusan untuk membinasakan Abi jahal bin Hisyam , Utbah bin Rabia'h , Syaibah bin Rabia'h , al Walid bin Utbah , Umaiyyah bin Khalaf dan Uqbah bin Abi Mui't .
Ibnu Masu'd bersumpah : Demi Allah yang diriku berada didalam genggamanNya , kesemua nama yang disebut itu terbunuh didalam peperangan Badar .Sirah Ibnu Ishaq.9. Zambry [ Menteri besar Perak yang tidak sah ] menunjukkan kejahilannya apabila mengeluarkan kenyataan kononnya Nabi saw tidak pernah mendoakan kecelakaan Abu Lahab . Mungkin Zambry juga tidak membaca al Quran Surah al Lahab . Bukankah Allah swt telah berfirman maksudnya :
Celakalah Kedua - dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya ia akan binasa . Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan . kelak dia akan masuk ke dalam api yang membara . Dan begitu pula isterinya , pembawa kayu api yang dilehernya ada tali dari sabut .
Jika Allah telah melaknatnya dan ayat itu dibaca sepanjang zaman . Apakah Zambry memerlukan ayat lain untuk melaknat Abu Lahab ? Ayat ini dibaca oleh Nabi saw dan seluruh ummatnya disepanjang zaman .
10. Selayaknya orang yang dizalimi bersabar dan bermunajat kepada Allah swt . Allah adalah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui . Allah tidak akan mensia - siakan doa hambaNya yang menderita dan sengsara angkara kezaliman .
Posted by Nasrudin Hassan at Tantawi at 12:06

Saturday, November 21, 2009