Saturday, November 14, 2009

Resolusi Seminar Politik Memperkasakan PAS

Seminar Politik Memperkasakan PAS menyedari dan memahami bahawa:
1.PAS dan Pakatan telah melepasi ujian setahun setengah mengurus pemerintahan empat buah negeri dalam penggal parlimen ke-12 ini. Baik buruk,kejayaan-kegagalan negeri-negeri Pakatan ini telah mula mendapat perhatian umum. Pengiktirafan kejayaan telahpun diiktiraf seperti Laporan Ketua Audit Negara 2008.
2.PAS dan Pakatan mutakhir ini terperangkap dalam kemelt-kemelut yang merosakkan imej dan tanggapan umum terhadap kredibiliti dan kesepaduan muafakat politik ini. Benar media BN jahat memainkan isu-isu ini, tetapi PAS/Pakatan wajar menginsafi bahawa punca sumber laporan-laporan tidak wajar kita salahkan pihak lain, sebab kita juga bertanggungjawab.
3.PAS dan Pakatan sangat-sangat berhajatkan untuk terus memperbaiki "persepsi" rakyat dan pengundi bahawa muafakat politik pakatan adalah mantap dan matang, bersedia memikul tugasan menjadi pemerintahan di peringkat persekutuan bagi membawa negara ini ke garis prestasi yang lebih berdaya saing, makmur dan sejahtera. Keutuhan dan kemantapan ukhuwwah dalam saf yang menjadi aset dan anasir kekuatan utama dalam jemaah dan parti telah sedikit terjejas dalam pergolakan mutakhir ini.
Seminar Politik Memperkasakan Parti dengan ini merakamkan bahawa:
1.Peri pentingnya PAS menyerlahkan keupayaan satu kepimpinan parti yang bijak, kompeten dan matang dalam mengurus perbedaan dalam parti, semangat musyawarah melalui mekanisme parti secara berkesan
2.Pimpinan tertinggi parti wajar melaksanakan tugasan utama pimpinan sebagai "ta alluf al-qulub" yakni mempertautkan ahli-ahli dalam saf yang kukuh.
3.PAS wajar mengingatkan kepada kepimpinan negeri yang memerintah kerajaan negeri, ahli-ahli EXCOnya yang menganggotai kerajaan-kerajaan negeri Pakatan yang lain supaya sentiasa memelihara semangat muafakat politik Pakatan dengan tidak melakukan sesuatu yang boleh dipersepsikan sebagai menjejaskan dan memudaratkan keutuhan kerajaan negeri.
4.PAS wajar mempertegaskan kepada semua peringkat keahlian dan kepimpinan tertinggi sehingga ke akar umbi bahawa telah dikunci (dengan ketat) segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda 'kerajaan perpaduan'
Seminar Politik Memperkasakan Parti mengesyorkan pimpinan tertinggi parti lima resolusi untuk:
1.Terus memperkukuhkan Pakatan dan meningkatkan persiapan untuk menghadapi PRU ke-13 dengan sentiasa proaktif dalam memudahkan pakatan melaksanakan serta menguruskan urusan kerajaan-kerajaan Pakatan dengan penuh keikhlasan serta semangat setiakawan yang tinggi.
2.Kepimpinanan kawasan yang memiliki penduduk-pengundi bukan-Islam yang ramai supaya bertindak dengan lebih agresif mengaktifkan kelab-kelab penyokong PAS di kawasan masing-masing.
3.Memantapkan rumusan pendirian-pendirian parti berdasarkan maklumat dan penyelidikan, kemudian menurunkan dan menyalurkan kesemua ini dalam pengarahan yang jelas dan berkesan sehingga ke akar umbi keahlian parti dan cawangan di seluruh negara.
4.Membuat pengarahan yang jelas kepada Dewan Pemuda dan Nisa' dengan KPI nya, supaya segmen pengundi muda yang sedikit terjejas terhadap PAS mutakhir ini, dikembalikan keyakinan dan sokongan mereka kepada PAS. Juga dipertegaskan pentingnya untuk memugarkan kegiatan Unit Amal dengan mempraktikkan modul yang telah sedia ada.
5. Membuat satu 'Plan Tindakan' bagi menghadapu PRU ke-13, bagi memperkukuhkan sokongan yang sedia ada dalam kalangan orang Islam-Melayu dan memuatkan satu 'Roadshow Nasional' bagi menerangkan tema 'PAS For All' atau 'PAS Untuk Semua' bagi melebarkan tapak sokongan merentasi semua agama, kaum dan budaya.
Resolusi Seminar Memperkasakan Parti
7 Novenber 2009, 19 Zulkaedah 1430H

No comments:

Post a Comment